Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Penjawat Awam Tulang Belakang Kerajaan – Aminuddin

By 16 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Syamsul Azwan Shamsul Kamar (Pejabat Daerah Port Dickson)

PORT DICKSON, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Penjawat awam di Port Dickson khususnya dan di Negeri Sembilan amnya diseru untuk mendakap penggunaan teknologi seiring dengan dunia digital kini bagi mengimbangi tuntutan Revolusi Industri 4.0.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tuntutan ini adalah supaya industri perkhidmatan awam kekal relevan dan dinamik.

“Penjawat awam boleh meneroka bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta internet kebendaan (IOT) dalam membantu rutin pekerjaan harian dan gunakanlah teknologi moden ini untuk penyampaian perkhidmatan bagi meningkatkan hasil negeri,” katanya dalam sesi perhimpunan Ketua Jabatan Daerah Port Dickson di Auditorium Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, di sini Jumaat lalu.

Tambah Aminuddin, penjawat awam adalah tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan merupakan tunjang utama dalam melaksanakan perkhidmatan serta penyampaian kepada rakyat.

“Oleh itu, perhimpunan seperti ini menunjukkan bahawa penjawat awam sentiasa komited  dalam merealisasikan amanah yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

WhatsApp Image 2019-12-16 at 11.20.28

Gimik pelancaran majlis.

Beliau turut mengingatkan agar perhatian perlulah diberikan kepada perkara asas seperti kebersihan, kemudahan awam dan perkhidmatan berintegriti dalam persediaan Tahun Melawat Malaysia 2020 akan datang.

“Port Dickson merupakan Bandar Pantai Peranginan dan Bandar Tentera Darat dan ini jelas menunjukkan bandar ini mampu menawarkan sesuatu kepada pelawat yang secara tidak langsung akan meningkatkan permintaan kepada ekonomi pelancongan di sini.

“Saya berharap agar semua agensi melipat gandakan usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung dengan menyediakan infrastruktur dan program yang menarik dan bermanfaat,” katanya.

Dalam rangka lawatan kerja sehari Aminuddin ke Port Dickson, beliau turut berkesempatan ke Kampung Orang Asli Bukit Kepong, menyampaikan sumbangan kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan melawat ke beberapa lokasi produk pelancongan yang terdapat di daerah ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik dan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri.

-AK

Tinggalkan komen anda