Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Program ‘Jom ke Sekolah’ DUN Kota Ringankan Beban Ibubapa

By 19 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 19 Dis (Malaysiaaktif ) – Seramai 450 orang pelajar dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota telah menerima sumbangan sempena program ‘Jom Ke Sekolah’ bertempat di Dewan Cengkau Kota, di sini baru-baru ini.

Para pelajar tersebut telah menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah seperti uniform, kasut dan alat tulis hasil sumbangan Pejabat Penyelaras DUN Kota, Yayasan Taqwa, Kelab Belia Legasi Anak Rembau, Pertubuhan Amal Anak Rembau dan beberapa pihak lain yang turut terlibat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Rembau serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Kota.

Menurut salah seorang penerima sumbangan, Haikal Ali, 9, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kota, beliau berasa amat bersyukur akan sumbangan yang diterima tersebut dan ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban penjaganya.

WhatsApp Image 2019-12-18 at 12.28.35

Penyelaras DUN Kota, Sahrizal Masrudin bergambar bersama ibubapa dan pelajar.

“Saya datang bersama ibu saya untuk menerima bantuan persekolahan ini dan berasa gembira kerana ini adalah pertama kali saya mendapat baju serta kasut sekolah baru untuk ke sekolah nanti,” katanya ketika ditemui.

Manakala menurut ibunya, Zaiton Nordin, beliau amat menghargai dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan tersebut.

“Selama ini kami tidak mampu membeli pakaian atau peralatan sekolah baru, anak saya hanya menggunakan pakaian terpakai daripada abang atau kakak mereka dan dengan adanya sumbangan ini, ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan anak saya apabila kembali ke sekolah,” ujarnya.

Majlis telah disempurnakan oleh Penyelaras DUN Kota Sahrizal Masrudin dan turut dihadiri oleh masyarakat sekitar.

-AK

Tinggalkan komen anda