
Laporan/foto:Asmidar Zainol (Nabawan)
NABAWAN, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 300 peserta terdiri daripada wakil-wakil penduduk dan kampung menyertai Program Sayangi Sabah, Selamat Sejahtera Bersama Komuniti Sempadan Malaysia/Indonesia di Kampung Sinsingon pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman menyampaikan taklimat berkenaan aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah (MKN Sabah) itu dianjurkan sebagai usaha menyemarakkan kesedaran sivik dan patriotik di kalangan masyarakat sempadan Sabah, Malaysia dan Kaltara, Indonesia.
Ia juga bertujuan untuk meningkat pemahaman dan kesedaran orang ramai mengenai isu-isu di persempadanan negara terutamanya yang tinggal di Pagalungan dan juga di Pensiangan.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Operasi MKN Sabah, ACP Shahrir Daud semasa menyampaikan taklimat pada program.
Pada program, para peserta diberi taklimat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Agensi Antidadah Kebangsaan Sabah dan taklimat berkenaan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sabah daripada MKN Sabah.
Antara agensi yang terlibat pada program berkenaan adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah (JPNIN Sabah), Pejabat daerah Nabawan, Jabatan Penerangan Daerah Nabawan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sinsingon.
ER