Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

14 Orang Terima Kunci Rumah Peduli Daerah Jasin

By 19 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Noraidah binti Mat Seh (Jasin)

JASIN, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Berlangsung pada hari semalam, Majlis Perasmian dan Penyerahan kunci rumah peduli kepada 14 orang penerima bagi Daerah Jasin.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam ucapan perasmian menyatakan kerajaan negeri amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk membantu menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa bagi memenuhi keperluan perumahan semua golongan rakyat terutama yang berpendapatan rendah di negeri Melaka.

“Matlamatnya, tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat dan memastikan tiada seorang pun daripada rakyat di negeri ini tertinggal daripada menikmati kepesatan arus pembangunan.

“Kerajaan negeri sentiasa percaya, pembangunan akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita berjaya melakukan agihan kemakmuran secara sekata dan saksama. Pembangunan di sektor perumahan adalah salah satu strategi ke arah mencapai matlamat mensejahterakan rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan bantuan pembinaan rumah peduli dengan peruntukan sebanyak RM6 juta. Terdapat dua kategori pembinaan iaitu pembinaan rumah berkapasiti dua bilik tidur dengan kos sebanyak RM30,000 dan pembinaan rumah berkapasiti tiga bilik tidur dengan kos sebanyak RM37,500.

“Sehingga kini, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan pembinaan sebanyak 92 unit rumah peduli iaitu 25 unit telah siap, 13 unit dalam pembinaan, 21 unit dalam proses perolehan dan 33 unit lagi dalam proses perancangan.

“Bagi djaerah Jasin sahaja, sebanyak 16 unit rumah peduli telah berjaya disiapkan dan baki 21 unit rumah lagi yang telah mendapat kelulusan pada tahun 2019 sedang dalam proses perolehan.

“Saya mengharapkan agar dengan bantuan rumah peduli ini, ia dapat membantu memberikan nikmat kehidupan yang selesa dan dapat membentuk keluarga yang bahagia. Majlis penyerahan kunci pada hari ini adalah amat bermakna kepada para penerima yang akan memiliki rumah pada permulaan tahun baharu ini. Semoga pemberian kerajaan ini sedikit sebanyak dapat membantu mempertingkatkan kualiti kehidupan di masa hadapan,” katanya.

Program yang berlangsung di Kampung Pondok Kempas, Selandar, Jasin semalam turut dihadiri Timbalan Speaker merangkap ADUN Bemban Datuk Dr. Wong Fort Pin, Timbalan SUK (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh, Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan.

-KN

Tinggalkan komen anda