
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 100 orang warga sekitar Kampung Felcra Pinggir Sri Wangi menghadiri Majlis Perasmian Pejabat Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) yang telah berlangsung pagi semalam.
Pembukaan pejabat ini telah diilhamkan oleh warga MPKK bagi mewujudkan sebuah pusat pengumpulan aduan, maklumat dan juga sebagai tempat untuk penduduk Kampung Felcra Pinggir Sri Wangi serta kampung-kampung rangkaian bertemu dengan Ketua Kampung bagi mengutarakan aduan rakyat atau mendapatkan bantuan kerajaan.
Ketua Kampung Felcra Pinggir Sri Wangi, Shamsir Mohamad Salleh berkata “pejabat ini baru saja disiapkan pada 25 Januari lepas dan ia merupakan pusat untuk ahli MPKK berkumpul bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat walaupun masih banyak lagi kemudahan lain yang belum lengkap sepenuhnya.”

Dr Shahrudin menandatangani plak sebagai simbol perasmian pejabat MPKK Kampung Felcra Pinggir Sri Wangi.
“Kita perlu bersyukur kerana dapat tinggal di Negara Malaysia yang aman tanpa sebarang pergolakan seperti di negara luar.
“Sebagai pemimpin dalam kerajaan, perkara paling penting adalah mengekalkan keamanan Negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan dijauhkan dari musibah peperangan dan sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan Allah S.W.T,” kata Ahli Parlimen Sri Gading merangkap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.
Beliau turut meminta rakyat faham akan keadaan kerajaan Pakatan Harapan yang masih muda dalam mentadbir kerajaan dan memohon diberikan peluang untuk terus menyelesaikan masalah rakyat.
“Sejumlah peruntukan akan disalurkan bagi membantu melengkapkan kemudahan yang diperlukan oleh pejabat MPKK tersebut demi kemudahan orang ramai.
Saonah Sunip@Sanip, 69, dan keluarganya amat berbesar hati kerana dapat mewakafkan sedikit tanah di halaman rumahnya bagi membina ruang pejabat MPKK agar penduduk kampung yang mempunyai kesulitan mendapat manfaat dan memudahkan urusan dalam memohon bantuan kerajaan melaui saluran yang betul.
Turut hadir, Ketua Balai Polis Daerah Yong Peng, Pengurus Felcra Pinggir Sri Wangi, Ketua-Ketua Kampung Parlimen Sri Gading dan Ahli MPKK Parlimen Sri Gading.
-NI-