Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Bekerja Sendiri Digalak Carum PERKESO

By 30 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Individu yang bekerja sendiri digalakkan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan pelbagai manfaat.

Timbalan Pengarah PERKESO Kuala Lumpur, Fuad Alias, berkata inisiatif yang diperkenalkan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal berkuatkuasa 1 Januari lalu.

“Sektor tersebut meliputi perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan, aktiviti pengilangan produk, kerja pembinaan, menjaja atau berniaga.

“Turut tersenarai adalah perkhidmatan premis penginapan, perniagaan dalam talian, perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat, perkhidmatan pengumpulan dan pemproses data, perkhidmatan ejen, perkhidmatan profesional, khidmat sokongan persendirian, aktiviti persembahan, perfileman, karya seni dan grafik, perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan serta perkhidmatan isi rumah,” katanya.

Katanya, kadar caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan boleh mendaftar secara dalam talian menerusi pautan https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran tunai di mana-mana pejabat PERKESO.

“Pencarum akan mendapat manfaat perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, faedah pendidikan, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat dan pencen Penakat kepada Noridah Abu Bakar iaitu balu arwah Mohamed Haffeez Faidzal Abdul Raub di Taman Sri Gombak, di sini hari ini.

Haffeez yang merupakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) meninggal dunia pada 3 Januari setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 239.9 dua hari sebelumnya ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke Melaka.

Dalam perkembangan sama, Fuad memaklumkan sambutan daripada individu sangat baik apabila sehingga 28 Januari tahun ini, seramai 45,089 individu yang bekerja sendiri telah mencarum dengan PERKESO melalui skim SKSPS.

“Sektor pengangkutan penumpang adalah yang paling ramai apabila seramai 43,138 orang diikuti perkhidmatan (670), pengangkutan makanan dan barang seperti foodtruck (199), pembinaan (168) dan penjaja (158) serta beberapa sektor lain.

“Kita harap individu bekerja sendiri mengambil peluang untuk mencarum skim SKSPS yang memberi perlindungan daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda