Laporan: Noorshazana Shaadan/Leazmi Anak Leman (Port Dickson) & Politeknik Port Dickson
PORT DICKSON, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Kajian Kesihatan dan Morbiditi yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2018 menunjukkan lebih 5.5 juta rakyat Malaysia mengalami masalah obesiti dan semakin meningkat setiap tahun.
Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor, berkata laporan Economist Intelligence Unit pada tahun 2017 menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara yang paling obes di Rantau Asia Tenggara.
“Mengambil contoh Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada usia 90-an, beliau masih dikurniakan kesihatan yang baik kerana mengamalkan gaya hidup yang sihat dan seimbang.
“Kita juga hendaklah bersenam untuk memastikan badan dan minda sentiasa cergas sepanjang hari. Selain itu, ia dapat mengurangkan tekanan semasa kerja,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program 5km ‘Walk for World Peace’ 2019 di Dataran Telok Kemang, di sini Sabtu lalu.
Menurut Khairy, program ini merupakan satu program bersepadu yang memberikan impak tinggi bukan sahaja dalam menunjukkan tanda sokongan program keamanan tetapi mengingatkan kita akan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sejahtera.
“Adalah diharapkan masyarakat di Negeri Sembilan khususnya akan lebih aktif dalam menyertai program kesukanan yang dianjurkan di peringkat negeri mahupun daerah bagi melahirkan warga yang sihat dari segi mental dan fizikal,” tambahnya lagi.
Program anjuran International Association of Educators for World Peace (IAEWP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Port Dickson ini telah disertai oleh kira-kira 4,300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sebelum itu, majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Haron di Padang Softball, Politeknik Port Dickson.
-AK