Laporan/foto: Salwati Md Zam/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)
AYER KEROH, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Sehingga September 2019, Melaka berjaya mencatat kehadiran 13.671 juta pelancong iaitu peningkatan sebanyak 643,483 ribu orang berbanding 13.027 juta pelancong pada tempoh yang sama tahun 2018.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Melaka terpilih antara destinasi 10 Pelancongan Terbaik Dunia 2019 atau Top 10 International Best Tourist Destination 2019 bersempena dengan karnival The Global Tourism Destination di Sichuan, China.
“Kita akan merancakkan industri pelancongan dengan meningkatkan aktiviti dan program untuk menarik pelancong serta berusaha menambah produk pelancongan. Tahun 2020, negeri Melaka terpilih sebagai salah sebuah negeri dalam program promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 bersama-sama negeri Pahang, Sabah dan Sarawak.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri melalui Tourism Melaka merancang 15 Acara Utama Pelancongan bagi memeriahkan kehadiran Visit Malaysia 2020. Kesempatan ini perlu digunakan sebaiknya untuk melebarkan aktiviti memperkenalkan negeri ini di persada dunia.
“Usaha juga perlu diambil khusus oleh Bahagian Promosi Pelancongan bersama-sama para pemain dalam industri pelancongan untuk memperkenalkan pelbagai pakej pelancongan dalam pelbagai kategori pelancong seperti makan-makan, fotografi dan sebagainya. Usaha yang lebih giat juga perlu diambil untuk mempromosi tempat-tempat yang menarik serta makanan tertentu yang kurang diwar-warkan selama ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Pentadbiran Kerajaan Ngeri Melaka dan Amanat Ketua Menteri di Grand Ballroom, MITC, Ayer Keroh, baru-baru ini.
-KN