Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
KUCHING, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Seekor ular berukuran lebih kurang 1.5 kaki telah berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuching tengah hari ini di bilik surau, Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak.
Kehadiran ular dari keluarga ular lidi ini menggemparkan warga jabatan tersebut ketika beberapa kakitangan jabatan hendak menunaikan Solat Zohor di bilik surau berkenaan.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuching Mohd Hairuddin, ular spesies ini memang suka berada di bilik sejuk serta lembap dan keberadaan ular ini berkemungkinan besar akibat cuaca hujan dan panas yang melanda Sarawak khususnya Kuching ketika ini.
“Ular jenis ini mengandungi bisa dalam jumlah yang berbeza, bagi mereka yang menemui ular ini hendaklah memaklumkan pihak kami agat dapat ditangkap dengan segera kerana dikhuatiri mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui membantu menangkap ular tersebut, di sini hari ini.
Menurut Hairuddin, pihak APM sering kali menerima panggilan daripada orang ramai mengenai kehadiran ular di rumah mereka dan pelbagai spesies ular turut ditangkap seperti ular sawa, tedung selar dan pelbagai lagi spesies yang berbeza.
“Ular yang telah ditangkap tidak akan dibunuh sebaliknya akan dilepaskan semula ke habitat asal,” katanya lagi.
-SH