
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Komuniti Labuan diminta tidak terpengaruh dengan sebarang berita palsu yang disebarkan pihak-pihak tertentu.
Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berita palsu yang mudah ditularkan akan membawa banyak keburukan kepada masyarakat tempatan.
“Kerjasama yang kuat dalam kalangan komuniti boleh rosak dengan mudah, maka kita di Labuan biar terus menjadi komuniti yang sentiasa berjaga-jaga, matang, jangan mudah beremosi dan tidak bertindak gopoh.
“Jika kita bertindak gopoh maka gelaran kita sebagai contoh kepada perpaduan itu akan hilang,” katanya semasa merasmikan Program Pemimpin Bersama Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Sempena Gong Xi Fa Cai 2020, di sini baru-baru ini.
Rozman turut menyeru warga Labuan untuk sentiasa bertindak sebagai satu pasukan.
“Kita mesti menjadi satu pasukan tidak kira daripada mana latar belakang politik, kita sentiasa bersama berfikir untuk membangunkan Labuan.
“Kalau kita bersatu orang lain akan hormat dengan suara kita kerana Labuan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa merakamkan penghargaan kepada Datuk Rozman Isli kerana berusaha memohon pertambahan KHM di Labuan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Labuan yang berusaha mendapatkan tambahan KHM daripada enam kepada sepuluh KHM.
“Terima kasih juga kepada semua Pengerusi dan ahli KHM yang sentiasa berusaha sedaya upaya merapatkan hubungan silaturahim dan terima kasih juga kepada MPKK Sungai Keling yang bekerjasama dengan KHM menjayakan program ini,” ujarnya.
-SH