Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Warga UMSKAL Diseru Terus Komited Bantu Warga Labuan

By 2 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Azri Onn (Labuan)

LABUAN, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Warga Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) diseru untuk terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata warga UMSKAL diharap akan terus menjalankan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab yang akhirnya akan memberi manfaat kepada universiti.

“Saya berharap warga UMSKAL akan bekerja dengan gembira, mengamalkan sikap toleransi, hormat-menghormati, berakhlak mulia dan sentiasa membantu antara satu sama yang lain.

“Pada masa sama, saya mahu pensyarah menghasilkan penerbitan dan penyelidikan yang terbaik dan dapat dikongsi dengan pihak lain sekaligus membantu memperkenalkan UMS ke peringkat lebih tinggi.

“Ahli akademik juga perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan universiti antarabangsa termasuk menghadiri persidangan atau seminar yang berkualiti,” katanya dalam majlis perjumpaan bersama kira-kira 100 kakitangan UMSKAL yang diadakan di universiti tersebut, di sini baru-baru ini.

Salah seorang pensyarah UMSKAL bertanyakan soalan kepada Dr. Taufiq (kanan) dalam sesi dialog yang diadakan.

Salah seorang pensyarah UMSKAL bertanyakan soalan kepada Dr. Taufiq (kanan) dalam sesi dialog yang diadakan.

Beliau juga mengingatkan warga universiti agar tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang hanya akan menyusahkan diri dan universiti secara keseluruhannya.

Dalam lawatan sulung itu, beliau turut memuji usaha UMSKAL mewujudkan Pusat Autisme Labuan yang dapat membantu golongan yang memerlukan sekali gus membuktikan keprihatinan kita terhadap masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sebagai sebuah gedung ilmu, kita kena prihatin dengan keperluan masyarakat di sekeliling kita dan penubuhan Pusat Autisme Labuan di UMSKAL telah memberikan kesan yang mendalam kepada ibu bapa terbabit,” katanya lagi.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

-SH

Tinggalkan komen anda