Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

MNS Cadang Kerajaan Negeri Tanam Pokok Hutan di Timah Tasoh

By 5 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mencadangkan agar kerajaan negeri Perlis mengambil langkah strategik menanam pokok hutan di sekitar tasik Timah Tasoh sebagai usaha awal bagi memulihara alam sekitar dan habitat burung hijrah.

Presidenya Prof. Dr.Ahmad Ismail berkata tasik Timah Tasoh merupakan kawasan penting bagi persinggahan burung–burung hijrah  semasa musim sejuk di hemisfera utara antara bulan Oktober hingga Mac setiap tahun.

“Penanaman pokok hutan adalah bagi menyediakan habitat sementara  bagi burung-burung hijrah  berteduh dan mencari makanan ,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dengan melakukan pemantauan terhadap kualiti ekosistem yang menjadi tempat tinggal sementara untuk burung berhijrah itu.

Bernama sebelum ini melaporkan kebimbangan badan bukan kerajaan (NG) dan orang ramai terhadap kemerosotan kualiti air serta kebersihanan tasik Timah Tasoh yang dikhuatiri mampu menjejaskan alam sekitar dan habitat burung hijrah.

Ahmad berkata pihaknya  sedia membantu kerajaan dari segi  kerja-kerja menanam pokok hutan dan melakukan promosi bagi menjaga ekosistem tasik tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Perlis,  Awang Shaffie Awang Ahmadni, berkata pihaknya menyambut baik cadangan MNS dan sedia meneliti cadangan itu sebagai usaha bersama menamam pokok hutan di tasik berkenaan.

“Kita akan kaji cadangan MNS dan akan mengenal pasti spesies pokok hutan yang sesuai ,” katanya.

Beliau berkata  pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di hutan simpan kekal  Wang Mu dan hutan simpan kekal Mata Ayer bagi memastikan bahawa tiada aktiviti pencerobohan yang menyumbang kepada pencemaran air masuk ke Sungai Pelarik dan Sungai Jarum yang mengalir ke tasik Timah Tasoh.

Pengarah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Negeri Perlis, Asnol Adzhan Abd. Manap, ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat  yang boleh mengesahkan kualiti air di tasik Timah Tasoh terjejas.

“Kita tidak ada data dan akan melakukan kajian sebelum menghantar laporan kepada ibu pejabat,” katanya.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda