Laporan/foto: Tengku Saipulah Tengku Mohd (Kuala Nerus)
BUKIT TUNGGAL, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 100 peserta terdiri dalam kalangan pelajar sekolah dan pelajar universiti bersama komuniti setempat bergabung tenaga menjayakan program gotong royong di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal di sini.
Guru Besar, Rosita Ahmad, 57, berkata program yang telah lama dirancang ini adalah satu inisiatif untuk memastikan kebersihan di kawasan sekolah terjaga.
“Program ini julung-julung kali diadakan membabitkan pelajar sekolah dibantu oleh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggembleng tenaga bergotong-royong dalam satu kelompok.
“Inisiatif ini perlu disemai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya mewujudkan suasana bersih di kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Menurut pelajar dari UMT, Naxiem Rameli, 20, yang turut serta dalam aktiviti ini berkata program ini membuka ruang dan peluang kepada siswa serta siswi untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat menerusi program gotong-royong.
‘Aktiviti sebegini dapat memupuk semangat sukarelawan yang tinggi dan mengenali budaya masyarakat setempat selain mengiatkan belia mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Program anjuran SK Bukit Tunggal ini bertujuan untuk memperluaskan pembelajaran berkaitan alam sekitar dalam kalangan murid termasuk generasi muda dan komuniti setempat agar peka tentang aspek kebersihan alam sekitar.
-ii-