
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Dungun)/UiTM Bukit Besi
DUNGUN, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bukit Besi, Dungun telah memanfaatkan masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyahut cabaran mengambil inisiatif bagi menghasilkan pelindung muka untuk menampung keperluan kelengkapan perlindungan diri barisan hadapan untuk hospital, klinik kesihatan serta pusat kuarantin di sekitar daerah ini.
Koordinator Program dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Mohd Ridhwan Mohamed Redza, memaklumkan penghasilan 693 pelindung muka menggunakan mesin pencetek 3D telah dilaksanakan secara sukarela oleh 10 orang penuntut dan turut melibatkan 12 kakitangan universiti termasuk pensyarah dan kakitangan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UiTM Cawangan Terengganu.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami apabila negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 dan sehingga hari ini beberapa tempat telah kami edarkan antaranya Klinik Kesihatan Alor Tembesu sebanyak 170 unit, pusat kuarantin sementara di Politeknik Sultan Zainal Abidin (PMSZA) Dungun (410 unit), Hotel UiTM (100 unit) serta kegunaan pihak kami iaitu UiTM Kampus Bukit Besi dan UiTM Kampus Dungun masing-masing sebanyak lapan dan lima unit.

Pelindung Muka diedarkan di Pusat Kuarantin Sementara Politeknik Sultan Zainal Abidin (PMSZA) sebanyak 410 unit.
“Pastinya apa yang diusahakan ini dapat memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada seluruh warga kampus dan kami amat bertuah dapat menyumbang bakti dan kepakaran pada masa memerlukan,” katanya ketika ditemui sempena serahan pelindung muka tersebut, di universiti tersebut, di sini baru-baru ini.
-ii-