Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

YIDE Salur Sumbangan Aidilfitri Terus Ke Akaun Anak Yatim

By 23 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Arkib YIDE

SHAH ALAM, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan mengagihkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim yang berdaftar dengannya di sembilan daerah di negeri Selangor tahun ini.

Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata secara tradisinya Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah akan menyantuni dan menyerahkan sumbangan tersebut pada setiap bulan Ramadhan.

“Mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak COVID-19 yang belum dapat dibendung sepenuhnya, selain risiko terkena jangkitan, penyerahan sumbangan bersama Raja Muda Selangor pada bulan Ramadhan tahun ini dibatalkan.

“Kaedah sumbangan pada tahun ini tidak lagi melalui pihak masjid, malah terus dimasukkan ke akaun bank penjaga atau anak-anak yatim yang berdaftar dengan YIDE,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri bersama Raja Muda Selangor pada bulan Ramadhan tahun ini dibatalkan disebabkan penularan virus Covid-19.

Majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri bersama Raja Muda Selangor pada bulan Ramadhan tahun ini dibatalkan disebabkan penularan virus Covid-19.

Beliau berkata tahun ini seramai 7,420 orang anak yatim telah berdaftar dengan YIDE yang akan menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM100 setiap seorang secara berperingkat selewatnya pada 8 Mei ini.

“Sebanyak RM742,000 telah diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada YIDE untuk anak-anak yatim tersebut mengikut daerah-daerah.

Wajah ceria anak-anak yatim di Selangor yang menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Wajah ceria anak-anak yatim di Selangor yang menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

“Daerah Klang akan menerima RM128,800, Petaling (RM126,700), Sabak Bernam (RM40,000), Kuala Selangor (RM76,300), Hulu Langat (RM117,900), Sepang (RM33,000), Gombak (RM112,100) Hulu Selangor (RM54,300) dan Kuala Langat (RM52,900),” ujarnya.

Katanya, YIDE menyeru orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat memutuskan rantaian Covid 19 serta mengikut segala nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain tidak menyebarkan berita-berita palsu.

-NAZ

Tinggalkan komen anda