Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 Tarik Penglibatan 16 Pasukan

By 14 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 14 Julai (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri kembali aktif melaksanakan semula program mencandat sotong dengan konsep pertandingan antara daerah-daerah selama dua hari telah diadakan di sekitar perairan Rusila dan Pulau Kapas, Marang, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman telah merasmikan program “Maghi Candat Sotong Terengganu 2020” yang menarik penglibatan 16 buah pasukan daripada daerah-daerah di negeri ini serta turut melibatkan pengamal media tempatan, media luar, dan juga para pengamal blog tempatan.

Para media dan blogger dibawa menaiki bot laju menyusuri Sungai Marang sehingga ke Dataran Batu Putih.

Para media dan blogger dibawa menaiki bot laju menyusuri Sungai Marang sehingga ke Dataran Batu Putih.

Menurut Ariffin, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih dikuatkuasakan, aktiviti-aktiviti mencandat sotong, memancing dan pelancongan pulau adalah antara aktiviti yang paling sesuai untuk digerakkan dahulu.

“Ini merupakan permulaan penganjuran semula aktiviti candat selepas hampir tiga bulan dalam fasa PKP dan PKPB,” katanya ketika ditemui pemberita.

Temu bual bersama para media selepas acara flag-off candat sotong.

Temu bual bersama para media selepas acara flag-off candat sotong.

Berhasrat untuk memulihkan semula sektor pelancongan di Marang selepas tamatnya PKPB, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berpendapat aktiviti sebegini membuka semula peluang pendapatan kepada pemilik-pemilik bot kecil dan besar melalui tempahan oleh masyarakat setempat dan luar negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Melaka dan Kedah.

“Sepanjang PKP dan PKPB berlangsung, kita dapati ramai pemilik bot dan nelayan tempatan mengeluh kerana ketiadaan sumber pendapatan. Jadi, dengan penganjuran aktiviti sebegini, saya percaya pemilik bot dapat memperbaiki semula ekonomi keluarga melalui sewaan bot-bot oleh para pemancing dan peminat aktiviti mencandat sotong.

Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu bersama Pegawai Daerah Marang dan tamu kehormat semasa melaksanakan acara flag-off Maghi Candat Sotong Terengganu 2020.

Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu bersama Pegawai Daerah Marang dan tamu kehormat semasa melaksanakan acara flag-off Maghi Candat Sotong Terengganu 2020.

“Peraturan pengoperasian bot-bot juga telah ditetapkan oleh penguatkuasa Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan Negeri. Justeru aktiviti-aktiviti ini dapat diteruskan tanpa perlu kepada penambahan peraturan baharu memandangkan kapasiti sebuah bot nelayan yang ditetapkan adalah antara 8-12 orang sahaja bergantung kepada saiz bot, bagi mengelakkan pertembungan tali pancing. Begitu juga kapasiti untuk bot pelancong yang telah ditetapkan bergantung kepada saiz bot,” katanya.

Pegawai Daerah Marang turut memaklumkan untuk meneruskan penganjuran beberapa lagi program mencandat sotong dan memancing di sekitar Pulau Kapas, Pulau Kekabu, Pantai Kelulut dan Pantai Merchang serta program Menyusuri Sungai Marang dengan mengambil kira langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi merancakkan lagi kedatangan pelancong tempatan ke Marang.

Antara bot peserta Maghi Candat Sotong Terengganu 2020.

Antara bot peserta Maghi Candat Sotong Terengganu 2020.

“Promosi Marang sebagai destinasi kunjungan dan penganjuran acara-acara pelancongan sebegini hanya boleh berjaya sekiranya masyarakat bersama-sama menjadi pemegang taruh dan meletakkan sasaran jangka masa panjang untuk peningkatan berterusan ekonomi daerah ini,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda