Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

17 Kes Baharu Libatkan 15 Import, Dua Penularan Tempatan

By 31 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif)  – Sebanyak 17 kes baharu positif COVID-19 melibatkan 15 kes import dan dua penularan dalam negara dilapor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu di negara ini sebanyak 9,334 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 160 kes.

“Daripada 17 kes baharu dilaporkan, 15 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 11 warga Malaysia dan empat bukan warganegara.

“Sebanyak 15 kes import itu adalah dari India (12 kes di Kuala Lumpur); Arab Saudi (dua kes di Kuala Lumpur) dan Jepun (satu kes di Sarawak),” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham memaklumkan 10 kes telah pulih COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya 9,048 kes atau 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya setakat semalam tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19 sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu sebanyak 126 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan melindungi kumpulan berisiko tinggi akibat komplikasi jangkitan COVID-19.

“Kumpulan yang berisiko tinggi adalah lebih rentan jangkitan termasuk penyakit COVID-19 termasuk warga emas; wanita mengandung; pesakit kronik (kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan lain-lain); dan pesakit imuniti rendah (kanser, human immunodeficiency virus, dan lain-lain),” katanya.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda