Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

APMM Tahan Dua Bot Nelayan Vietnam, Hasil Rampasan Bernilai RM3 Juta

By 17 September 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas dua bot nelayan Vietnam, peralatan tangkapan ikan dan 2,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM3 juta dalam Op Kuda Laut Siri 1/2020 Selasa lepas.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu Komander Maritim Ariffin Ghazali Ramli berkata, menerusi operasi yang dijalankan dalam jarak 26 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu kira-kira 8 pagi itu, 25 kru termasuk tekong dan awak-awak turut ditahan.

Beliau berkata ketika ditahan Kapal Maritim (KM) Tok Bali, sebuah daripada bot terbabit bertindak agresif dengan melanggar KM Tok Bali dan cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap hasil ketangkasan dan kepantasan anggota penguat kuasa APMM.

“Kesemua tekong serta awak-awak yang berumur 15 hingga 50 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu telah dibawa untuk menjalani proses saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah Ariffin lagi, APMM Terengganu telah menahan 48 bot nelayan asing serta 542 kru termasuk tekong dan awak-awak sejak Op Kuda Laut itu dilancarkan awal tahun ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda