Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Keunikan Laman Woodball PTSS

By 29 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shameelawati Shaari (PTSS)

ARAU, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah menyempurnakan perasmian Laman Woodball PTSS yang mempunyai 24 fairways dengan ukuran sepanjang 1510 meter.

Menurut Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Abdul Malek Hassan, laman Woodball PTSS yang mempunyai sebuah fairway yang berukuran sepanjang 60 meter terletak di pinggiran tasik, dihiasi dengan rumput khas serta mempunyai pagar yang mendapat jolokan nama Gate D’Lake.

“Saya berharap agar warga PTSS akan dapat memanfaatkan fasiliti ini yang akan menjadi salah satu lokasi untuk aktiviti fizikal selain sukan bola sepak, badminton, petanque, berkayak dan lain-lain aktiviti yang terdapat di PTSS,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian tersebut, baru-baru ini.

Raja Muda Perlis mengucapkan tahniah atas perasmian laman woodball ini dan menekankan bahawa permainan woodball memiliki aura yang positif  yang mampu mendidik pemain untuk lebih fokus di mana ia juga sebagai salah satu terapi bagi menenangkan diri, membantu melancarkan peredaran darah, meredakan stress, mengeratkan integrasi sosial serta membudayakan kehidupan sihat.

Sempena majlis ini, turut berlangsung Kejohanan Woodball Jemputan Piala Pengarah PTSS yang mempertandingkan beberapa kategori iaitu individu pelajar lelaki, individu pelajar wanita, individu kakitangan lelaki, individu kakitangan wanita, bergu campuran kakitangan, berkumpulan VIP dan jemputan di mana johan keseluruhan telah dimenangi oleh Pasukan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) PTSS.

Turut hadir, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merangkap Pengerusi Pusat Kecemerlangan Atlet Woodball Majlis Sukan Politeknik Dr. Mohd Zahari Ismail, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Haji Izmi Ismail.

-NI-

Tinggalkan komen anda