Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Kekalkan Perlis Negeri Berstatus Hijau

By 28 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Wan Muhamad Zikri Wan Kamis/Anuar Che Amat (Perlis)

ARAU, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Rakyat Perlis diminta untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar negeri itu terus kekal sebagai negeri zon hijau.

Menurut Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pauh Rozieana Ahmad, status zon hijau perlu dikekalkan agar rakyat dapat menjalani aktiviti seharian tanpa rasa bimbang.

“Semua pihak tidak mengira jawatan, pangkat atau peringkat usia perlu berganding bahu bagi memastikan wabak COVID-19 tidak menular ke negeri ini.

“Kita perlu peka dan patuh pada SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Sepakat@Komuniti “Pembudayaan Norma Baharu : Putuskan Rantaian COVID-19” di Sri Pauh Natural Motel Arau, baru-baru ini.

Rozieana berkata, masyarakat harus menghargai pengorbanan dan jasa para petugas barisan hadapan serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

“Saya amat berharap individu yang dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa kerana ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan menjadikan ia sebagai pengajaran dan tidak mengulanginya lagi.

“Rakyat perlu mendisplinkan diri apabila ingin keluar rumah seperti memakai pelitup muka, jaga penjarakan sosial dan kebersihan diri bagi memastikan Perlis kekal sebagai negeri hijau,”ujarnya.

Sehingga semalam, tiada kes dicatatkan di negeri ini yang secara tidak langsung menjadikan Perlis satu-satunya negeri tanpa kes baharu COVID-19 di Malaysia.

Pada program ini, turut diadakan sesi ceramah oleh pihak Polis Diraja Malaysia yang membincangkan tentang keselamatan dan undang-undang berkaitan pematuhan SOP yang telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen Perlis Supritendan Idris Mohamed serta perkongsian maklumat berkaitan pencegahan COVID-19 oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Mohd Nor Hidayat Bidin.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Azrul Hasan.

-NI-

Tinggalkan komen anda