
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN 30 Okt (Malaysiaaktif) -Sambutan Maulidur Rasul diraikan dengan aktiviti bergotong-royong mengacau bubur asyura versi utara oleh Masyarakat Felda Neram di Balai Raya Kampung Baru Felda Neram, Air Putih, baru-baru ini.
Maimun Osman, 69, yang merupakan ketua program berkata program ini adalah program tahunan di kawasan tersebut bersempena sambutan Maulidur Rasul dan bubur tersebut akan diagihkan kepada masyarakat sekitar.

Maimun Osman berkata 200 pek bubur asyura diagihkan kepada semua penduduk supaya mereka dapat merasainya bersama.
“Keunikan bubur asyura versi utara menjadi pilihan untuk dibuat pada tahun ini kerana berbeza ramuannya berbanding bubur asyura yang dibuat oleh masyarakat di negeri ini.

Kemeriahan bergotong-royong menyiapkan bubur asyura utara di Balai Raya Kampung Baru Felda Neram, Air Putih.
“Kami memilih untuk membuat bubur asyura utara pada tahun ini kerana rasa bubur asyura utara ini agak berbeza dengan bubur asyura di sini kerana bahan yang digunakan untuk membuat bubur asyura versi utara adalah buah-buahan tempatan berbanding daging lembu atau ikan di Negeri Terengganu.”
“Bubur asyura utara agak manis dengan rasa buah-buahan selain ianya menyihatkan badan kerana ramuannya berupa buah-buahan seperti ubi keledek, pisang, jagung, kacang hijau dan kacang tanah,” katanya.
Tambah Maimun, sebanyak 200 pek bubur asyura daripada dua buah kawah yang dibuat diagihkan kepada semua penduduk setempat supaya mereka dapat merasainya.
Katanya, kos membuat bubur asyura diterima daripada pihak pengurusan FELDA di sini yang sentiasa cakna akan penduduk dalam felda.
Menurut Uwok Che Man, 67, salah seorang peserta program ini memberitahu selain menyambut kedatangan Maulidur Rasul program gotong-royong ini bertujuan merapatkan silaturahim antara penduduk di sini.

Uwok Che Man memberitahu selain memasak bubur asyura, masyarakat di sini turut aktif mengimarahkan surau dengan mengadakan kuliah agama selepas solat Maghrib, ceramah agama dan selawat sempena Maulidur Rasul.
“Kami libatkan semua suri rumah di sini dan golongan pemuda untuk sama-sama mengacau bubur tersebut. Dua kawah bubur asyura dimasak secara gotong-royong bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang melibatkan 25 orang termasuk lelaki dan wanita.
“Walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keceriaan sesama penduduk dapat dilihat semasa mereka mengacau bubur asyura secara gotong-royong,” katanya.
-ii-