
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Dungun)/Pejabat Perpaduan Daerah Dungun
DUNGUN, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Dungun zahirkan keprihatinan terhadap kerja keras petugas kesihatan dengan menyumbangkan tenaga dalam menghasilkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk diagihkan kepada petugas kesihatan di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang Alias Harun, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang begitu komited dalam mengambil inisiatif menyiapkan PPE menerusi KRT Kampung Che Lijah dan KRT Kampung Gong Pasir.
“Penghasilan PPE amat membantu petugas barisan hadapan yang sememangnya amat memerlukan pakaian tersebut dalam kuantiti yang banyak dalam sehari. Dianggarkan Pejabat Kesihatan Daerah Dungun memerlukan 200 unit PPE dalam sehari,” katanya.
Alias berkata demikian selepas menyerahkan PPE yang telah disiapkan oleh sukarelawan KRT Daerah Dungun kepada Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr. Fathul Hakim, bertempat di Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, baru-baru ini.
Fasa kedua penyerahan PPE melibatkan 279 unit yang berjaya disiapkan oleh KRT Kampung Che Lijah dan KRT Kampung Gong Pasir merangkumi 151 helai baju dan 128 helai tudung.
Menurut Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu Burhanuddin Daud, penyediaan PPE tersebut melibatkan seramai 20 orang sukarelawan daripada dua KRT terlibat dan beliau menyasarkan lebih banyak PPE dapat dihasilkan bagi membantu memenuhi keperluan petugas barisan hadapan.

ADUN Rantau Abang, Alias Harun menyerahkan PPE kepada Pegawai Kesihatan Daerah Dungun disaksikan Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu, Burhanuddin Daud.
“Sebagai rakyat yang prihatin, kita tidak boleh hanya berharap kepada mereka. Kita mesti bantu ringankan beban mereka dan diharapkan usaha ini sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat menjadi warganegara yang prihatin serta memainkan peranan dalam memerangi Pandemik COVID-19 bersama petugas barisan hadapan,” katanya.
Untuk rekod, Fasa Pertama penyerahan PPE oleh KRT Kampung Besol dan KRT Taman Madani, Dungun telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada hujung bulan lepas sebanyak 3,000 unit.
-ii-