Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 30 Mac (Malaysiaaktif)– Seramai 337 peserta yang memenuhi kelayakan menerima Borang 5A dalam Majlis Penyerahan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Batu Putih, Mukim Kuala Abang, di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kesabaran bakal penerima amat dihargai kerana bukan mudah proses yang dilalui dan keputusan perlu dibuat bagi menilai tanah-tanah yang ada sama ada sesuai untuk tempat tinggal, untuk pertanian atau untuk pembangunan sahaja.
“Tanah RTB di sini asalnya adalah tanah RTB pertanian, namun melihat kepada keperluan rakyat yang memerlukan tapak rumah, jadi kita bermesyuarat dengan pihak berwajib untuk menukar status tanah pertanian ini kepada tapak untuk pembinaan rumah.
“Cabaran lain yang kita hadapi adalah kesukaran untuk dapatkan tanah dan kebanyakan tempat sudah tiada tanah yang sesuai untuk bina rumah seperti di Daerah Hulu Terengganu dan Setiu,” katanya ketika menyerahkan borang tersebut di Dewan Al-Husna Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, baru-baru ini.
Tambah beliau, proses untuk membuat keputusan mengenai kesesuaian status ini juga memakan masa yang agak lama.
Bagi seorang penerima, Zailiha Deraman, 58, berkata beliau amat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberikan mereka sekeluarga keputusan yang menggembirakan pada hari ini.
“Rezeki yang dikurniakan pada hari ini amat bermakna buat saya dan keluarga, seperti yang diucapkan oleh Menteri Besar dalam ucapan inilah tanah tempat berpijak dan bakal didirikan rumah untuk kami berteduh,” katanya.
Zulkefali Said, 59, pula berkata program Penyerahan Borang 5A ini adalah usaha gigih dan merupakan kejayaan Pejabat Tanah Daerah Dungun dan semua pihak yang terlibat.
“Semua peserta yang menerima Borang 5A perlu membuat bayaran premium dalam masa tiga bulan,” katanya.
-ii-