Laporan/foto: Rusmiza Anuar(Kuala Terengganu)/KPDNHEP Terengganu
Kuala Terengganu, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, telah melancarkan Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Pasar-Pasar Utama Peringkat Pasar Kedai Payang, di sini.
Beliau memaklumkan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor peruncitan sehingga 1 Mac lepas adalah pada kadar 97.9% dan pihak KPDNHEP juga telah menjalankan sebanyak 402,929 pemeriksaan premis diseluruh negara dan telah mengeluarkan sebanyak 151 kompaun.
“Berdasarkan jumlah pemeriksaan tersebut, didapati kadar pematuhan dalam sektor peruncitan adalah amat tinggi dan perlu dikekalkan sehingga berakhirnya situasi pandemik di negara ini.
“Justeru itu, KPDNHEP juga berpandangan semua peringkat peruncitan sama ada di pusat membeli-belah, kedai runcit, kedai serbaneka serta pasar-pasar awam bertanggungjawab memastikan pematuhan ini diikuti,” katanya ketika melancarkan kempen tersebut, baru-baru ini.
Menurut Alexander, pihak KPDNHEP mengambil maklum kemampuan pemilik-pemilik premis membeli belah utama dalam mengeluarkan perbelanjaan bagi memastikan kesedaran awam berada pada tahap tertinggi.
“Kementerian telah mencadangkan pasar-pasar utama di seluruh negara perlu juga perlu diberi tumpuan dalam Kempen Membudayakan Norma Baru COVID-19 dengan memilih pasar-pasar utama di seluruh negara di bawah Kempen Pembudayaan Norma Baru COVID-19 ini,” katanya.
Antara pasar-pasar utama yang terpilih adalah Pasar Satok di Kuching, Sarawak, Pasar Kraftangan Kota Kinabalu, Sabah, Pasar Siti Khadijah Kota Bharu, Kelantan, Pekan Rabu Alor Setar, Kedah, Pasar Chowrasta Georgetown, Pulau Pinang dan Pasar Kedai Payang Kuala Terengganu, Terengganu.
“Pemilihan pasar-pasar utama ini adalah berdasarkan beberapa kriteria antaranya ialah tempat pasar utama ini merupakan tumpuan pengguna terutama pelancong domestik.
“Pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung luar dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka semula kelak,” katanya.
Alexander Nanta turut memaklumkan, antara langkah yang akan digunakan dalam kempen ini ialah melalui pemasangan sistem ulang siar digital di mana sistem ini adalah salah satu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah.
“Pada masa yang sama saya berharap pendekatan dalam menggunakan sistem ini dapat memberi manfaat bukan sahaja dalam tempoh Kempen Norma Baharu COVID-19 tetapi juga selepas pandemik ini berakhir,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPNHEP Datuk Rosol Wahid serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.
-ii-