Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Suntikan Vaksin Menyakitkan Adalah Mitos

By 3 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Enam individu dalam senarai terawal penerima vaksin COVID-19 bagi fasa pertama telah selamat menerima suntikan vaksin tersebut semalam di dua lokasi berbeza di daerah ini.

Antara senarai penerima terawal vaksin COVID-19 di Daerah Marang adalah Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong, Yang di Pertua Majlis Daerah Marang (MDM) Fadli Salleh, Ketua Polis Daerah Marang OCPD Mat Zin Mat Dris dan Pegawai Kesihatan Daerah Marang Dr. Tan Sin Yiew di Klinik Kesihatan Marang.

Manakala pada masa yang sama, ADUN Bukit Payong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Mohd Nor Hamzah turut menerima suntikan di klinik Kesihatan Bukit Payong.

Vaksin bukan untuk memudaratkan tetapi vaksin adalah mengawal jangkitan, pesan mereka yang telah mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Vaksin bukan untuk memudaratkan tetapi vaksin adalah mengawal jangkitan, pesan mereka yang telah mengambil suntikan vaksin COVID-19.

ADUN Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong, berkata pengambilan vaksin COVID-19 menyakitkan dan boleh memudaratkan adalah mitos yang telah digembar-gemburkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sekali gus menimbulkan rasa takut dan gusar dalam kalangan masyarakat.

“Kesakitan ketika mengambil vaksin ini adalah mitos semata-mata dan saya alu-alukan rakyat setempat supaya segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin ini yang InsyaAllah boleh memberi harapan baharu kepada kita semua,” tegas beliau yang mengharapkan agar desas-desus itu segera dihentikan.

Menurut Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal, vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNtech ini telah selamat sampai di Marang pada 1 Mac lalu dan telah dibahagikan mengikut keperluan setempat.

Setiap penerima suntikan vaksin ini perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

Setiap penerima suntikan vaksin ini perlu menandatangani surat persetujuan terlebih dahulu.

“Sebagai individu pertama menerima suntikan ini di sini, saya berani mengatakan vaksin ini selamat serta diakui halal oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan janganlah ragu untuk mengambil vaksin ini sebagai ikhtiar kita yang terakhir dalam memerangi COVID-19,” katanya.

Tambah beliau lagi kajian yang telah dijalankan oleh Amerika Syarikat jelas sekali menunjukkan kadar peratusan jangkitan COVID-19 telah menurun selepas rakyat mereka mengambil vaksin.

“Jadi, tanamkan keyakinan dalam diri kita peratusan jangkitan di negara kita khususnya di Negeri Terengganu juga akan menurun sekiranya rakyat negeri ini terutama di Marang segera mendaftar sebagai penerima vaksin bagi fasa pertama bermula hari ini,” katanya.

Dalam pada itu juga, Dr. Tan Sin Yew menjelaskan vaksin yang disuntik hanyalah dalam kuantiti yang terlalu sedikit iaitu 0.3ml dan perlu mengulangi dos kedua selepas tamat tempoh senggang masa dos pertama yang ditetapkan.

Dr. Tan Sin Yew meminta orang awam supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin.

Dr. Tan Sin Yew meminta orang awam supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Kita seru masyarakat di Marang untuk segera mendaftar dan dapatkan suntikan ini supaya kita boleh kurangkan dan mungkin tidak mustahil memutuskan terus rantaian pandemik ini di daerah kita,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda