Laporan/foto: Mohd Shahril Alias/Noorshazana Shaadan (Port Dickson)
PORT DICKSON, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Taman Tema Ehsan kini menjadi salah satu produk pelancongan terbaharu di Port Dickson apabila mula beroperasi sepenuhnya baru-baru ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perasmian taman tema ini akan merancakkan lagi industri pelancongan di Port Dickson khususnya dan Negeri Sembilan amnya.
“Kerajaan Negeri menyasarkan lebih lima juta pengunjung ke Port Dickson berdasarkan trend kedatangan pelancong yang semakin meningkat selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika merasmikan taman tema air tersebut di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Ehsan Waterpark Datuk Abdul Hamid PV Abdu berkata pihaknya telah mengambil alih pengurusan Port Dickson Tiara Beach pada tahun 2019.
“Pengubahsuaian taman tema air ini telah menelan belanja kos keseluruhan sebanyak RM6 juta dengan berkeluasan hampir dua hektar dan pembukaan Ehsan Waterpark telah memberi peluang pekerjaan sebanyak 120 orang dan 30 orang daripadanya adalah masyarakat orang asli di kampung orang asli berhampiran.
“Taman tema ini dijangka menerima pertambahan pengunjung lebih kurang 2,000 ke 3,000 orang pengunjung pada setiap hujung minggu,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah dan Tanah Port Dickson Khairy Maamor.
-FF