Laporan/foto: Siti Zuraida Md Nor Aidi/Shamsulkhair Mohd Ayob (Jempol)
JEMPOL, 19 April (Malaysiaaktif) – Seramai 12,478 orang daripada 20,000 penerima vaksin bagi fasa 2 di daerah Jempol telah berdaftar di aplikasi Mysejahtera dan daerah Jempol adalah antara daerah yang dibenarkan untuk membuka dewan pusat pemberian vaksin (PPV) Fasa 2 di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.
Dalam tinjauan yang dibuat awal pagi tadi bersempena pembukaan rasmi PPV di daerah ini, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol memaklumkan seramai 228 orang akan menerima suntikan untuk hari pertama ini.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Ariza Zainudin, pemberian vaksin akan diberikan mengikut jadual dengan jumlah tenaga kerja seramai 18 orang daripada petugas KKM beserta tujuh orang sukarelawan myvac serta anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan proses ini dijangka akan mengambil tempoh antara empat hingga enam bulan.
“Dengan pembukaan PPV ini, penerima berdaftar di bawah Klinik Kesihatan Bandar Seri Jempol, Klinik Kesihatan Felda Lui Muda dan Klinik Kesihatan Serting Hilir akan menerima suntikan mereka di dewan PPV yang dibuka ini.
“Pihak kami juga akan mempergiatkan usaha mempromosi untuk pendaftaran vaksin dengan kerjasama agensi seperti Jabatan Penerangan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Perpaduan dan penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut, baru-baru ini.
Sementara itu, dalam temu bual bersama salah seorang penerima, Tan Cheng Song, 79, berasa sangat gembira kerana telah mendapat suntikan pertama vaksin COVID-19 pada hari ini.
“Semua orang perlu divaksinasi bagi memastikan semua lapisan masyarakat bebas dari jangkitan wabak ini,” katanya.
Manakala menurut seorang lagi penerima vaksin Osman Kalah, 74, sepatutnya semua ahli masyarakat perlu berterima kasih kepada pihak kerajaan yang sangat prihatin tentang kesihatan rakyat dan masyarakat perlu segera mengambil peluang untuk mendapatkan vaksinasi secara percuma dan sama-sama membantu negara agar segera bebas dari wabak ini.
-FF