Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (JaPen Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 12 April (Malaysiaaktif) – Mengambil kira kepentingan menyediakan perkhidmatan sosial dan kebajikan masyarakat, program Malaysia Prihatin dilihat sebagai wadah atau platform untuk menjalin hubungan antara kerajaan dan orang ramai khususnya di daerah ini.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith, melalui program sebegini masyarakat didedahkan mengenai usaha- usaha memperbaiki dan meningkatkan prasarana dan kemudahan yang diselenggara oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang diterajui oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
‘’Sebagai contoh, kerajaan melalui KKR sedang giat merangka strategi pelaksanaan jalan raya yang menghubungkan Ulu Bendul dan Tengkek yang akan membantu merancakkan sektor ekonomi setempat dan memperluaskan jaringan kemudahan antara kawasan.
‘’Projek yang dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM1 bilion perlu dipercepatkan kerana laluan yang sedia ada tidak dapat menampung kehadiran kenderaan yang banyak dan Kuala Pilah juga merupakan titik perhubungan laluan Pantai Timur dan Selatan,’’ ujar beliau ketika berucap pada Majlis Malaysia Prihatin dan Taklimat Isu Semasa di Kompleks Rakan Muda, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Eddin turut menegaskan perlunya pendekatan bersama masyarakat tanpa protokol sebegini dapat diteruskan agar rakyat dapat memahami bahawa Wawasan Kemakmuran Bersama adalah untuk semua dan tiada perbezaan kedudukan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, melihat program Malaysia Prihatin dan Taklimat Isu Semasa merupakan kaedah yang dapat mendekatkan masyarakat dengan maklumat tepat dan benar.
“Dalam meniti ledakan teknologi maklumat tanpa sempadan ini, peranan setiap kementerian perlu diperdengarkan dan dimaklumkan kepada masyarakat selaras agar rakyat mengetahui peranan jabatan dan agensi kementerian tersebut dalam membina Kemakmuran Bersama,” katanya.
-FF