Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
Langkawi, 1 April (MalaysiaAktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah memperkenalkan inisiatif program Langkawi Networking Day 2021 (LDN2021) dalam usaha memperkasa semula sektor pelancongan Langkawi dengan seramai 250 orang peserta hadir menyertai program ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Dr Hezri Adnan berkata inisiatif ini merupakan salah satu usaha yang telah ditetapkan di dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) dan ia berkait rapat dengan Strategi Pembukaan Semula Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang selamat.
“Objektif utama pelaksanaan LDN2021 ialah mempromosi semula industri pelancongan di Langkawi yang telah terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19 melalui jalinan kerjasama dua hala serta perkembangan dan kemas kini industri pelancongan domestik dan luar Langkawi.
“Kami berharap dengan adanya pelaksanaan strategi dan inisiatif dapat memberikan manfaat kepada industri pelancongan Langkawi dan LADA akan terus berusaha untuk mempelbagaikan inisiatif sebagai langkah pemulihan ekonomi setempat dan menjadikan Langkawi lebih progresif serta berdaya tahan dalam mengharungi fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” ujarnya ketika sidang media program tersebut di sebuah hotel, di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Umum (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof, berkata bagi meningkatkan lagi industri pelancongan di Pulau Langkawi, industri pelancongan domestik Langkawi berperanan sebagai ‘penjual’ manakala industri pelancongan luar Langkawi sebagai ‘pembeli’.
“LND2021 ini juga dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk mempromosikan produk-produk kepada industri pelancongan luar Langkawi sekaligus meningkatkan pendapatan dan menjana ekonomi.
“Antara acara-acara yang diadakan sempena program hari ini ialah dengan perkongsian maklumat melalui penyampaian seminar dari Region Northern Corridor Economic (NCER), MhHoliday X Langkawi Tourism – Rancangan Pemulihan, Matrix Marketing via Chinese Advertising dan Air Asia X Langkawi,” katanya.
~RJ~