
Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap, menjelaskan pemilihan Institut Latihan Kejururawatan KKM Kuala Pilah sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) Kuala Pilah yang beroperasi di Institut Latihan Kejururawatan KKM Kuala Pilah adalah satu langkah progresif dalam menangani peningkatan kes COVID-19 di Negeri Sembilan.
“PKRC Kuala Pilah yang merupakan yang kedua selepas Port Dickson adalah sebagai langkah segera menangani kes COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh negara khususnya di negeri ini yang selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memastikan para pesakit mendapat kemudahan yang terbaik dalam menangani pandemik ini.
“Justeru pembukaan PKRC Kuala Pilah adalah untuk menampung PKRC Port Dickson yang telahpun hampir mencapai kapasiti maksimumnya di samping dapat mengurangkan beban kepada hospital-hospital kerajaan yang sedia ada dalam mengendalikan golongan pesakit COVID-19 yang berisiko rendah,” katanya ketika ditemui di pusat kuarantin tersebut, di sini KELMARIN.
Menurut Faizal, sehingga kini sebanyak 600 buah katil disediakan di pusat ini dan penempatan pesakit tidak hanya terhad kepada warga Kuala Pilah sahaja.
“Terima kasih diucapkan kepada semua warga kerja Majlis Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Hospital Tuanku Ampuan Najiah (HTAN) dan lain-lain agensi yang turut sama terlibat dalam menjayakan penubuhan pusat ini.
“Semoga PKRC Kuala Pilah ini dapat membantu isu penempatan pesakit di Negeri Sembilan dan bersamalah kita berdoa agar wabak COVID- 19 ini dapat dibanteras di daerah Kuala Pilah dan seluruh negara,” ujarnya.
-FF