
Laporan/foto : Sharifah Ithnin (Alor Gajah) / FB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
ALOR GAJAH, 7 Jul (Malaysiaaktif) – Inisiatif kerajaan melancarkan unit vaksinasi bergerak ke kampung dan kawasan pedalaman bagi memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, Orang Asli, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) amat disambut baik oleh masyarakat umumnya rakyat Malaysia.
Sejajar dengan itu, satu program pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada 314 orang penduduk Kampung Bukit Payung yang layak menerima suntikan vaksin telah diadakan semalam.
Program ini merupakan salah satu daripada program ‘outreach‘ yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mendekati masyarakat luar bandar bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Payung, Nur Isjemei Ismail, terdapat peningkatan yang memberangsangkan terhadap jumlah penerima vaksin yang pada mulanya hanya 139 orang sahaja yang bersetuju dan setelah diberi penerangan yang mendalam dari hari ke hari semakin ramai yang berminat untuk menerima vaksin.
Selain pemberian vaksin di Unit Vaksinasi Bergerak (UVB) yang menggunakan Bas Mara Liner, pemberian suntikan juga turut diadakan di rumah penerima yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU)iaitu Encik Hadi Bin Degi,42 dan Encik Isma Bin Jemput,28.
Menurut Timbalan Menteri 2 Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dato Henry Sum Agong, masyarakat Orang Asli juga diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin bagi melawan pandemik COVID-19.
“Usaha ini untuk memastikan masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Payung, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
-FF