Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

JPBD Rembau Gotong Royong Bantu Mangsa Banjir

By 23 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pengurusan Bencana  Daerah Rembau (JPBD) telah menyelaraskan secara bersepadu aktiviti gotong royong memberikan khidmat membantu membersihkan rumah mangsa banjir dan kawasan kemudahan awam selepas air bah surut di Kg. Lubok China, Kg. Nerambai dan Kg. Sungai Radin yang teruk terjejas akibat banjir.

Menurut Azizul Hakim Zaini, Penolong Pegawai Daerah, Unit Pembangunan Masyarakat, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, program dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau ini telah melibatkan lebih kurang 250 orang petugas.Aktiviti gotong royong secara bersepadu melibatkan agensi-agensi kerajaan peringkat daerah dan turut dibantu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Tampin, Majlis Daerah Tampin, Kelab PTD Negeri Sembilan, Puspanita Rembau, Penyelaras DUN Kota dan MYA Care.

Agensi peringkat daerah termasuklah ATM, APM, BOMBA, JKR, MDR, RELA, SWME melakukan aktiviti membersihkan selut lumpur menggunakan waterjet, mencuci peralatan/perabot/pakaian selain mengasingkan dan membuang barang-barang yang basah/reput terendam dalam air banjir serta membersihkan fasiliti kemudahan awam, selain mengangkat sampah dan sisa debris pasca banjir.  Turut diadakan kerja-kerja membersihkan surau Kg. Nerambai yang rosak dibadai arus banjir.

Menurut mangsa banjir, Norlaila Ali, 45, hanya rasa bersyukur dapat diungkapkan apabila ada banyak pihak yang prihatin tentang kepayahan yang sedang mereka sekeluarga alami sekarang malah berterima kasih dan menghargai anggota pertugas pelbagai agensi yang datang kerana datang membantu membersihkan rumah yang penuh selut lumpur selain membawa bantuan kebajikan meringankan beban dan kesukaran kepada beliau yang sedih melihat keadaan rumah selepas banjir.

“Terima kasih pada semua petugas bergotong royong beri khidmat bakti banyak meringankan kerja- kerja membersihkan rumah jadi cepatlah sikit dapat masuk dalam rumah sebab lantai rumah dipenuhi lumpur selut jadi kami terpaksa bina khemah sementara untuk berehat selepas penat berkemas.” katanya yang berharap bantuan kepada mangsa banjir yang diumumkan pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat disalurkan segera supaya mereka boleh gunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas  musibah banjir yang dihadapi.

Program dirasmikan oleh Puan Noralina bt Othman, Timbalan Pentadbir Tanah PDT Rembau dan bermula jam 9.00 pagi dan tamat sekitar jam 2.00 petang.

Turut diadakan hebahan Info on Wheel (IOW) Pejabat Penerangan Rembau tentang Tips Keselamatan Pasca Banjir di kawasan terlibat.

Unit Bergerak IOW membuat hebahan pasca banjir.

Unit Bergerak IOW membuat hebahan pasca banjir.

-FF

Tinggalkan komen anda