Skip to main content
Berita Timur

Impak Laut Bergelora Terhadap Nelayan

By 6 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ali Imran Johari (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 6 Jan (Malaysiaktif) – Segelintir nelayan resah apabila keadaan angin kencang yang berterusan sejak Disember tahun lalu memberi kesan kepada mata pencarian mereka kerana tidak dapat turun ke laut seperti biasa.

Sejak bulan lalu, angin kencang dan keadaan laut yang bergelora menghadkan aktiviti menangkap ikan di laut serta secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

Tinjauan di lapangan mendapati, kebanyakan bot milik nelayan kecil masih ada di kawasan jeti di sekitar pesisiran pantai menunjukkan bahawa aktiviti perikanan di kawasan ini sedikit terjejas akibat musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Sementara itu, seorang nelayan, Asmawi Ramli, 56 berkata angin kencang yang melanda dan ombak besar secara berterusan terutamanya di tengah laut mendedahkan risiko kepada nelayan dan memberi impak yang besar terutamanya kepada nelayan yang menggunakan bot kecil.

Asmawi Ramli, 56 berkata bahaya untuk pergi ke laut akibat keadaan laut yang bergelora ketika ini.

Asmawi Ramli, 56 berkata bahaya untuk pergi ke laut akibat keadaan laut yang bergelora ketika ini.

“Keadaan berkenaan sudah berlarutan sejak musim tengkujuh yang bermula pada Disember lepas dan menyebabkan gelombang laut yang agak besar di sekitar pesisiran pantai di Kuala Nerus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan di Daerah Kuala Nerus malahan di daerah-daerah lain di negeri ini seperti di Setiu dan Besut turut memberi kesan kepada komuniti maritim terutamanya nelayan yang tidak dapat turun ke laut seperti biasa.

Di samping itu, Ibrahim Long, 52, berkata beliau dan beberapa nelayan lain, nekad untuk turun ke laut meskipun terpaksa berhadapan dengan ombak yang besar dan deras kerana perlu mencari pendapatan untuk keluarga yang bergantung bergantung daripada hasil tangkapan ikan dan sotong.

“Bukan mudah untuk terus bertahan hidup ketika ini, apabila tidak mempunyai pendapatan tetap berikutan ketika ini musim tengkujuh.

Ibrahim Long, 52, berkata dia terpaksa mencari inisiatif lain untuk menampung kos sara hidup.

Ibrahim Long, 52, berkata dia terpaksa mencari inisiatif lain untuk menampung kos sara hidup.

“Pekerjaan nelayan seperti kami perlu lebih berani dan mengambil risiko yang besar demi memastikan perbelanjaan seharian dapat dihasilkan,” katanya.

Bagi Rahmat Muda, 45, pula, dia mengambil inisiatif lain dengan mencari kerja sementara di darat bagi menjamin pendapatan keluarganya seperti berniaga makanan dan membaiki serta menyelenggara peralatan bot mereka.

“Bagi saya, antara kerja sementara yang saya boleh lakukan ketika ini, sementara menunggu keadaan yang lebih mengizinkan untuk saya turun ke laut ialah membantu isteri saya berniaga dan juga mengambil upah membaiki peralatan untuk menangkap ikan,” katanya.

Kebanyakan nelayan yang ditemui memohon dan mengharapkan pihak berwajib dapat memberi bantuan kepada isi rumah yang terjejas kerana tidak dapat turun ke laut ketika musim tengkujuh ini.

Bukan itu sahaja mereka, mengharapkan musim ini segera berakhir dan dapat bekerja seperti kebiasaan.

Tinggalkan komen anda