Laporan/foto : Siti Zuraida Md Nor Aidi / Mohd Naim Shaari
JEMPOL, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Hujan lebat tanpa henti yang mencurah-curah di daerah Jempol bermula tengah malam 31 Disember 2021 sehingga hari penutupan PPS terakhir di SK Rompin semalam telah melibatkan seramai lebih kurang 150 orang mangsa banjir dari 13 lokasi yang terjejas di daerah Jempol dan pada hari ini kesemua mangsa banjir telah pulang ke kediaman masing-masing.
Siti Hajar 40, petugas di PPS SK Rompin, menurut beliau “PPS SK Rompin telah dibuka bermula 1 Januari 2022 dengan jumlah mangsa sebanyak 145 orang dengan bilangan sebanyak 35 keluarga telah ditempatkan di sini, dan sehingga semalam hanya berbaki dua buah keluarga sahaja lagi yang masih tinggal dan merupakan mangsa terjejas banjir yang terakhir pulang ke tempat kediaman masing-masing pada hari ini. Pihak PPS di SK Rompin telah sedaya upaya untuk menguruskan serta memberikan bantuan yang sebaiknya kepada semua mangsa yang terjejas banjir termasuklah dari segi membantu bagi memudahcara untuk memohon bantuan yang diumumkan oleh pihak kerajaan kepada mangsa banjir yang tinggal di PPS ini.
Manakala menurut Mohd Ariff Abdullah 60, yang merupakan mangsa banjir dari Kg Seri Rompin pula berkata, “saya bersama tujuh ahli keluarga yang lain termasuk cucu telah ditempatkan disini sejak lebih kurang enam hari yang lalu, walaupun sangat berat dan pilu dengan apa yang terjadi namun saya rasa amat bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus hidup bersama ahli keluarga walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerosakan dan lebih pilu dan sayu apabila melihat rumah kediaman dimamah arus deras yang hampir menenggelamkan rumah mereka.
“Namun saat getir yang terpaksa diharungi selama enam hari di sini tetap diharungi dengan tabah dan saya amat berterima kasih kepada para pemimpin kawasan seperti YB Ahli Parlimen Jempol, YB ADUN Kawasan dan juga Pegawai Daerah Jempol serta para petugas yang sangat prihatin dan mengambil berat akan nasib mangsa dan keluarga yang terkesan banjir beserta dengan bantuan-bantuan serta sumbangan yang diberikan amat baik sekali, hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala kepayahan dan jasa baik yang telah mereka berikan kepada kami disini, tambahnya lagi.
Menurut Mohd Sabarudin Shaaban 48, mangsa banjir yang tinggal di Kg Balai Cina, Rompin pula berkata, “pada tahun ini adalah tragedi yang paling teruk berlaku berbanding tahun 2011 yang lalu iaitu setelah 11 tahun kawasan kediaman mereka tidak dilanda banjir.
Perasaan sayu dan sebak sehingga menitiskan air mata, namun beliau meneruskan kata-kata “saya berasa amat trauma dan sangat sedih melihat apa yang telah terjadi secara tiba-tiba dan sekelip mata merosakkan harta benda yang tidak terkata jumlah kerosakannya.
Tambahnya lagi, “bukan saya serta seisi keluarga sahaja yang berasa sangat sedih dengan apa yang berlaku dan saya sama sekali tidak menyalahkan takdir, namun saya tidak dapat menafikan bahawa dugaan yang kami terima ini sangat perit untuk kami lalui.
Sementara itu, Nawal Mohamed, Pegawai Daerah Jempol berkata, “beliau turut berasa simpati dan berasa sedih melihat keadaan mangsa serta tempat kediaman mereka yang musnah akibat bencana banjir dalam tempoh seminggu ini.
Menurutnya lagi, “beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, pasukan penyelamat serta pihak Rejimen 508 Askar Wataniah Rasah, Seremban yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat, membantu mangsa banjir sehinggalah kerja-kerja pembersihan diseluruh kawasan terjejas banjir didaerah ini.
Tambahnya lagi, “kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua situasi bencana di daerah ini akan tetap diteruskan dan selepas ini ‘Post Mortem’ akan dibuat sebagai langkah untuk mengenalpasti perkara yang perlu ditambah baik untuk dijadikan panduan serta penambahbaikan dimasa akan datang”.
-FF