Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Misi Bantuan Banjir Pahang 2.0 Tanda Prihatin – KECAKNA

By 4 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Pejabat Penyelaras DUN Seberang Takir (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Prihatin dengan penderitaan yang dialami mangsa-mangsa banjir Pahang, Kelab Sukarelawan Cakna Kita Terengganu (KECAKNA) sekali lagi melaksanakan Misi Bantuan Banjir Pahang 2.0 yang akan bermula 7 Januari ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab, berkata KECAKNA telah menggerakkan jentera serta ahli sukarelawan mereka dalam misi memastikan mangsa-mangsa banjir ini terbela dan diberikan bantuan secara berterusan.

“Antara objektif misi bantuan banjir 2.0 oleh KECAKNA ini adalah memberi dorongan kepada mangsa-mangsa banjir untuk membina semula kehidupan selepas kediaman dan harta benda mereka musnah akibat banjir,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurut Fadhil, seramai 40 individu akan menyertai misi bantuan 2.0 berkenaan yang terdiri daripada Unit Amal, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan anak-anak muda di dalam daerah ini akan bersama-sama menyertai misi berkenaan.

Mohd Fadhil (dua dari kiri) ketika menjalankan Misi Bantuan Banjir 1.0 yang lalu di Temerloh, Pahang.

Mohd Fadhil (dua dari kiri) ketika menjalankan Misi Bantuan Banjir 1.0 yang lalu di Temerloh, Pahang.

“Pada kali ini, kami akan memberikan sumbangan bantuan banjir berupa barangan keperluan rumah, seperti barangan dapur, alatan kediaman dan masa yang sama masih lagi meneruskan kerja-kerja membantu membersihkan kawasan rumah mereka.

“Ketika misi pertama dahulu, kita memberikan fokus dengan memberi bantuan secara segera bagi keperluan mangsa-mangsa banjir seperti pemberian makanan sedia ada dan bekalan air bersih,” tambah Fadhil.

Katanya, misi pada kali ini sedikit berbeza daripada bantuan sebelum ini kerana lebih memfokuskan kepada pemberian barangan yang akan digunakan untuk jangka masa panjang seperti set toto, set dapur masak, periuk nasi dan sebagainya

Sementara itu, menurut Fadhil, orang ramai yang masih berminat untuk memberikan sumbangan boleh menghantar barangan bantuan yang dikumpulkan di pusat pengumpulan di Pejabat Penyelaras DUN Seberang Takir.

“Sebarang bentuk sumbangan sangat dialu-alukan bagi membantu mangsa-mangsa banjir ketika ini,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan melalui atas talian menerusi akaun bank KECAKNA, 1006411000197763 atau akaun Dana Cakna Prihatin di 1006411000191798 dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 0139241895/0166066061.

Tinggalkan komen anda