Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 19 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 162 premis perniagaan di Labuan menyertai Program Jualan Malaysia Aidilfitri.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, program itu dijalankan bermula 15 April lalu hingga 8 Mei ini.
“Program ini untuk merancakkan ekonomi lebih-lebih lagi di Labuan selain membantu pengguna membuat persiapan merayakan Aidilfitri.
“Sebanyak 141 ribu premis di seluruh negara bersama dalam program ini dan barangan yang dijual lebih murah daripada hari –hari biasa,” katanya selepas membuat lawatan di premis – premis perniagaan di Kompleks Ujana Kewangan, semalam.
Tambahnya, KPDNHEP akan mencari pendekatan sesuai bagi menangani isu kos pengangkutan yang menyumbang kepada peningkatan harga barangan di pulau itu.
“Kita akan cari jalan mengurangkan kos menjalankan perniagaan yang boleh mempengaruhi harga barangan dan kaedah lain berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengendali pelabuhan di sini,” jelasnya.
-ZS-