Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 1 April – Seorang nelayan melahirkan kesyukuran apabila botnya yang bocor akibat dipukul ribut diganti dengan bot fiber baharu bersaiz 17 kaki bernilai RM13,850.00.
Abdul Azis Mutki, 32, berkata bot yang diserahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan itu mampu menambah pendapatannya kerana sebelum ini hanya menumpang bot abangnya untuk turun menangkap ikan di laut.
“Sebelum ini saya dapat sekitar RM 500 sebulan kerana perlu bahagi bersama dua orang lain tetapi kini saya mempunyai bot sendiri dan dijangka pendapatan saya meningkat ke sekitar RM 2000 sebulan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, dua orang nelayan lain iaitu Seruji Bakar, 41, dan Zaini Zaniel, 54, turut menerima bantuan enjin bot baharu masing-masing bernilai RM7,950.00 serta RM6,050.00.
Bantuan diserahkan Setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail, di sini semalam.
-ZS-