Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Program Jom Masuk Kampung anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjadi platform strategik di antara pihak kerajaan bersama pemimpin, belia dan komuniti luar bandar dalam memperjelaskan strategi, tindakan dan perancangan pihak kerajaan dalam membangunkan kampung serta komuniti luar bandar.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias,program itu mengeratkan lagi silaturrahim di antara pihak kerajaan, pemimpin dan juga masyarakat, selain membina perspektif hidup yang positif dalam kalangan belia melalui aktiviti gaya hidup sihat dan pembangunan kerohanian.
“Pelbagai aktiviti disediakan dari pagi hari antaranya Zumba, Pertandingan Futsal, Rewang atau Kenduri Kampung, Malam Sekalung Budi, di samping acara sampingan lain seperti Pameran dan Jualan, Pemeriksaan Kesihatan, Ceramah dan Tazkirah.
“Program-program seperti rewang atau kenduri kampung pula dapat menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan gotong – royong dalam kalangan belia dan masyarakat kampung untuk bersama-sama menyediakan pelbagai jenis menu untuk santapan semua,” katanya semasa merasmikan program itu di Kampung Sungai Lada, semalam.
-ZS-