Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Bermain kapal terbang kawalan jauh bukan sekadar sebagai hobi pada masa lapang, aktiviti ini juga mengeratkan hubungan dalam kalangan peminat kapal terbang kawalan jauh di negeri ini.
Menurut Haznie Abdul Hamid, 46, terdapat pelbagai aktiviti dan perjumpaan diadakan di Johor bagi peminat pesawat kawalan jauh berkumpul dan menerbangkan pesawat masing-masing. Malahan, ramai yang datang dari Kluang, Batu Pahat dan Mersing dengan membawa keluarga masing-masing.
“Kami semua sudah seperti sebuah keluarga yang besar. Itu yang seronoknya apabila kita bersatu terutamanya pada cuti panjang seperti Hari Deepavali ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Haznie juga berharap agar aktiviti pesawat kawalan jauh ini menarik minat golongan generasi baru kerana hobi ini turut melibatkan ilmu kejuruteraan yang boleh diguna pakai pada masa akan datang.
-ZS-