Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Himpunan Produk Sabah dan Sarawak di Pasar Tamu Dayak Seremban

By 29 November 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)

SEREMBAN, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Sambutan menggalakkan ketika berniaga secara kecil-kecilan semasa pandemik COVID-19 melanda negara mendorong 22 orang suri rumah yang berasal dari Sabah dan Sarawak membuka pusat jualan atau pasar di sini.

Presiden Raban Indu Borneo Seremban Padila Jiahong, 39, berkata pasar yang dikenali sebagai Pasar Tamu Dayak menawarkan pelbagai produk jualan seperti barangan tradisional serta makanan tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Terdapat makanan tradisional kegemaran ramai yang kebiasaannya hanya didapati di Sabah dan Sarawak, namun orang ramai boleh mendapatkannya di sini.

“Kebanyakan makanan ini dimasak sendiri dan barangan tradisional pula didatangkan dari Sabah dan Sarawak. Harga yang ditawarkan juga agak berpatutan,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

“Pasar Tamu Dayak Seremban telah dibuka sejak 28 Ogos lalu dan beroperasi di Jalan Seri Rahang pada setiap pagi Ahad bermula pukul 7.00 pagi,” katanya lagi.

Seorang peniaga Maria, 43, yang berasal dari Sibu, Sarawak berkata, dia mula menjalankan perniagaan dari rumah dan kemudiannya menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan di sekitar kawasan Seremban Jaya.

“Saya menjual pelbagai makanan seperti manuk (ayam) pansuh, ikan baung pansuh serta ikan sembilang dan ikan jelawat salai.

“Selain berniaga di sini, saya juga ada membuat perkhidmatan penghantaran produk jualan dari rumah ke rumah,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda