Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Khairul Nizam (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Penubuhan mini Food Bank Al-Baasith Cawangan Luak Inas dengan kerjasama agensi Kerajaan iaitu Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Penjara Seremban serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dan MyFundAction dilihat seiring dengan semangat Malaysia Madani.
Pendekatan menyediakan kemudahan dalam membela semua lapisan masyarakat khususnya yang ingin mendapatkan bantuan makanan asas terutamanya pada waktu kecemasan secara tidak langsung turut membentuk nilai kemanusiaan dan peradaban dalam masyarakat setempat.
“Penubuhan Mini Food Bank Al-Basith di mukim Inas ini merupakan yang pertama di Negeri Sembilan dan pengurusan operasi dijalankan sepenuhnya oleh masyarakat setempat secara sukarela.
“Melalui kaedah begini, nilai-nilai amanah dan peka kepada masalah penduduk dapat diterapkan dalam diri petugas dan juga pengurusan seperti yang diterapkan dalam konsep Malaysia Madani” kata Pengerusi Al Baasith Negeri Sembilan Khairul Nizam Khairuddin ketika ditemui, di sini semalam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz dan turut disaksikan oleh Datuk Penghulu Luak Inas, Mohammad Ariff Sidek, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Dato’ Haji Mohamad Taufek Abd. Ghani, Pengurus Besar Yayasan Food Bank Malaysia Johan Halid, Pegawai Daerah Kuala Pilah Mohd. Faizal Abdul Manap, Pegawai MAINS Daerah Kuala Pilah Mohd. Azreen Abu Bakar dan wakil-wakil agensi yang lain.
-ZS-