
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Bin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan memberi tumpuan utama kepada usaha menangani isu kos sara hidup dan pekerjaan rakyat dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, aspek lain termasuk usaha memperkukuhkan kedudukan ekonomi, melaksanakan reformasi institusi, pengurusan bencana dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani dengan berpandukan enam rukun iaitu kemampuan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.
“Kita tahu 2023 adalah tahun mencabar bukan saja dari sudut ekonomi, yang mana pertumbuhan ekonomi dunia diunjur perlahan sekitar 2.7 peratus berbanding 3.2 peratus pada tahun lalu.
“Kehidupan rakyat juga terhimpit terutama apabila negara baru saja bangkit daripada pasca COVID-19. Oleh itu, Belanjawan 2023 akan memberi tumpuan kepada isu utama iaitu usaha menangani kos sara hidup dan pekerjaan rakyat serta memperkukuhkan ekonomi negara dan pelbagai aspek lain termasuk pembangunan luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta Ketua-Ketua Jabatan persekutuan dan negeri.
-ZS-