Laporan/foto: Nur Shazreena Harith/Siti Hajar Kamis
SEREMBAN, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Jalan Siow Loong Hing atau lebih dikenali sebagai ‘Singapore Street’ oleh penduduk Seremban begitu sinonim dan dekat di hati masyarakat Cina amnya kerana ia merupakan pusat sehenti pemborong bagi peniaga-peniaga sejak berdekad lamanya.
Kedudukannya yang terletak di belakang Bangunan Dewan Perniagaan Melayu menjadikannya lokasi yang strategik untuk dikunjungi selain deretan bangunan lama tinggalan penjajah British.
Di sini pelbagai barangan keperluan harian seperti barangan kering, barangan plastik dan logam, makanan ringan dan juga barangan permainan dijual mengikut tema musim perayaan secara runcit mahupun borong dengan tawaran harga yang sangat munasabah.
Menurut peniaga kedai makanan ringan Angel Sin, 25, keluarganya telah menjalankan perniagaan tersebut secara turun-temurun bermula dari datuknya.
“Perniagaan ini merupakan warisan dari datuk saya sejak tahun 1945 dan pelanggan yang datang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur.
“Bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat di Seremban, malahan ianya turut menjadi tumpuan masyarakat dari luar Seremban seperti Kuala Pilah, Bahau dan juga Sepang Selangor,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
-ZS-