Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohamad Afiq Ahmad Zaid (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Program MyFit@Motorsports Peringkat Zon Timur 2022 Perlumbaan Motocross KBS di Litar Motocross Gong Badak, di sini kelmarin berjaya menampilkan bakat baharu dalam aktiviti sukan permotoran.
Juara MX Cadet 50cc, adik Nurin Wahidanie Mohd Rahimi, 9, berkata beliau berazam untuk melakukan yang terbaik perlumbaan tersebut adalah platform terbaik untuknya melangkah lebih jauh dalam sukan ini.
“Saya menyimpan impian untuk membawa nama negara ke persada dunia, jadi saya harus menggunakan peluang sebaiknya supaya menjadi lebih cemerlang di dalam sukan yang penuh cabaran ini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan tersebut.
Bagi adik Muhammad Aidil Rayyan Hamdan, 10, pula beliau meminati sukan ‘motorcross’ ini sejak berumur lima tahun lagi.
“Sejak berusia lima tahun saya sudah berminat dalam aktiviti permotoran apabila sering mengikuti perkembangan di televisyen. Insya-Allah, impian saya mahu mewakili Malaysia dalam sukan permotoran akan tercapai,” katanya.
-ZS-