Laporan/Foto: Farzliana Abdul Ghaffar/ Azmi Omar
BACHOK, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Pengunjung Pantai Irama mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di lokasi tersebut berikutan ombak besar dan angin kencang yang berpunca daripada fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Tinjauan mendapati Petugas Penyelamat Pantai dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa melakukan rondaan di lokasi dan bendera berwarna merah turut dikibarkan sebagai tanda peringatan bahaya kepada pengunjung.
Seorang guru, Ahmad Abas, 40, berkata beliau singgah sebentar ke pantai tersebut bersama 2 orang rakannya untuk melihat sendiri keadaan ombak ketika ini.
“Kami datang ke sini untuk melihat sendiri ombak dan mengambil gambar kenangan bersama. Sebagai langkah keselamatan, kami tidak akan berada lama di tepi pantai pada waktu begini”.
Tiupan angin MTL secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan manakala kawasan pantai negeri-negeri yang mengadap Laut China Selatan juga dijangka mengalami risiko kenaikan paras laut.
-ZS-