
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Golongan belia perlu merebut peluang dengan pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023.
Menurut Pengerusi Persatuan Mahasiswa Dan Siswazah Labuan (PERSILA) Yusrie Mohd Daud, golongan belia seharusnya mempunyai sikap ingin tahu untuk mendapatkan maklumat dan memanfaatkan apa yang diberikan oleh kerajaan.
“Hal ini termasuklah, belia kena jadi lebih kritis, berani, kreatif dan holistik untuk memajukan diri dan bersaing dalam dunia yang semakin mencabar ini.
“Selain berharap belia memanfaatkan inisiatif ini, saya juga berharap agar maklumat belanjawan ini dapat sampai ke golongan sasar yang sepatutnya terutamanya belia dan mahasiswa yang merupakan pelapis kepimpinan negara,” katanya semasa menjadi tetamu dalam Program Bicara Eksklusif di LabuanFM Khamis lalu.
Beliau berharap golongan belia boleh memanfaatkan beberapa insiatif seperti pemberian e-Tunai Belia Rahmah sebanyak RM200 untuk belia berumur 18 hingga 20 tahun, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20 peratus bayaran balik pinjaman selama tiga bulan dan penangguhan bayaran balik selama enam bulan kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah, memperkasa kerjasama awam swasta melalui pembangunan TVET yang melibatkan 50 GLC , jaminan pembiayaan RM300 juta khusus untuk usahawan wanita dan belia melalui Tekun dan Bank Simpanan Nasional dan sebagainya.
-ZS-