
Laporan/foto: Azuraini Abd Majid/Mohd Saipul Nizam Ibrahim
KULAI, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Setelah enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Kulai ditutup, satu PPS kembali dibuka selepas bah melanda Kulai buat kali kedua.
PPS Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, di sini mula dibuka pukul 4.00 petang pada Sabtu lalu bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir dari tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Siam, Kampung Sungai Besoi dan Kampung Murni Jaya.
Sehingga semalam, sejumlah 64 orang mangsa yang terdiri daripada 15 buah keluarga ditempatkan di PPS tersebut.
Menurut Ketua Kampung Sri Murni, Surono Karimen, 64, air sungai naik dengan pantas pada kali ini dan kebanyakan mangsa banjir tidak menyangka rumah mereka akan di naiki air sekali lagi.
Bagi Zainon Ismail, 68, yang duduk bersama sembilan orang anak dan menantu, mereka telah membersihkan rumah daripada kesan banjir yang lepas.
“Namun setelah rumah dibersihkan, keesokannya air telah naik sekali lagi dan kami terpaksa meninggalkan rumah setelah air berada di paras paha dan semakin meningkat,” katanya.
Bagi Daerah Kulai, bacaan paras Sungai Johor, di Kampung Sungai Siam masih mencatatkan paras bahaya dan cuaca dijangkakan hujan berterusan sehingga hari ini.
-ZS-