Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lima Pemohon Bertuah Terima Surat Tawaran Penyewaan Skim Smart Sewa

By 12 Mac 2023Mac 14th, 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nor Syahirah Mohd Hashim/Mohd Hizami Mohd Hanip (Petaling)

PETALING JAYA, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Skim Smart Sewa merupakan inisiatif kerajaan Negeri Selangor dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana menyewa sambil memiliki kediaman mereka sendiri.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari menyampaikan Surat Tawaran Penyewaan Skim Smart Sewa Daerah Petaling kepada lima pemohon yang bertuah sempena Program Jelajah #KitaSelangor Penyayang Daerah Petaling yang diadakan di Padang Permainan MBPJ Desa Mentari 3, Petaling Jaya hari ini.

“Ia merupakan skim sewaan pada kadar berpatutan dan para penyewa juga memperoleh pulangan sewaan sebanyak 30 peratus selepas menyewa dalam tempoh dua hingga lima tahun. Pulangan sewaan tersebut boleh dijadikan sebagai deposit pembelian kediaman kelak,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Salah seorang penerima, Khairul Fauzi, 32, berkata skim ini sangat membantu kerana kadar sewaan yang berpatutan yang boleh dikatakan di bawah harga pasaran sekarang dan sebahagian daripada sewaan tersebut akan dipulangkan balik untuk dijadikan deposit.

Muhammad Izzuan Hafiezi, 26, juga merupakan penerima skim ini berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan muda dan B40.

Daerah Petaling merupakan lokasi ke lapan Jelajah #KitaSelangor Penyayang yang menyediakan pelbagai aturcara menarik antaranya Pameran Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP), Pameran Agensi, Kaunter Bergerak, Pemeriksaan Kesihatan Percuma (Selangor Saring) dan Jualan Ehsan Rakyat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda