Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

PAWE Bukan Hanya Pusat Aktiviti Warga Emas

By 10 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nor Asikin Haria (Kedah)

BANDAR BAHARU, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) kini bukan hanya pusat aktiviti warga emas sahaja malahan turut menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan pelbagai peringkat umur.

“Kami di PAWE menyediakan tempat dan terbuka untuk semua golongan peringkat umur dengan mengutamakan penglibatan warga emas. Setiap hari kami menyediakan aktiviti bermanfaat kepada peserta.

“Aktiviti kami adalah percuma kepada masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri di bawah naungan Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia Cawangan Negeri Kedah (MPKSM),” kata Penyelia PAWE Bandar Baharu Norlia Zabidi.

Menurut Norlia Zabidi mereka yang berumur di bawah 60 tahun boleh menyertai Sahabat PAWE dan yang berumur 60 tahun ke atas boleh menjadi sebagai Ahli PAWE dengan mengisi borang keahlian secara percuma.

PAWE Bandar Baharu dengan kerjasama Syarikat MLG SPAKG Enterprise semalam telah mengadakan Kursus Pembuatan Sabun Pencuci Pinggan secara percuma bertempat melibatkan penyertaan seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada kaum wanita berumur 25 hingga 66.

Salah seorang ahli PAWE, Normadiah Zakaria, 66, merasa gembira kerana mendapat ilmu baru dalam pembuatan sabun dan boleh mencuba membuatnya di rumah.

“Kursus hari ini sangat bermanfaat dan PAWE sentiasa aktif menyediakan aktiviti yang berbeza setiap hari untuk ahli,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda