
Laporan/foto: Noor Shafina Ahmad/Anuar Che Amat
KANGAR, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba bulan Ramadan, air nira daripada pokok nipah mendapat permintaan yang tinggi terutama dalam kalangan para penggemarnya.
Air nira mempunyai rasa manis semula jadi dan juga mempunyai rasa yang unik menjadikan nira nipah sangat popular bagi masyarakat di sini tambahan pula negeri Perlis mempunyai cuaca yang panas.
Nira nipah antara minuman pilihan ramai penghilang dahaga terutama pada musim timur atau kemarau iaitu setiap kali berakhirnya musim menuai padi dan juga di bulan Ramadan ini.
Pengusaha air nira dari Kampung Tok Kuning Ilham Sulaiman yang ditemui di rumahnya, berkata setiap kali tiba bulan puasa, permintaan yang diterima sangat tinggi daripada masyarakat.
“Namun stok sangat terhad kerana dalam sehari nira nipah hanya akan dituai sebanyak tiga kali untuk mendapatkan satu jug air dan kini musim timur hasil air nira agak kurang berbanding pada musim hujan,” katanya.
Nira nipah dijual Ilham sekeluarga boleh didapati dengan hanya RM3 sebungkus menjadikan jualan minumannya sentiasa mendapat sambutan selain dapat mengembalikan kesegaran badan dan mengandungi khasiat untuk rawatan secara tradisional.
“Perusahaan ini telah dimulakan 20 tahun lalu oleh arwah ayah dan kini terdapat 300 pokok nipah di sekitar kawasan rumah kami,” katanya.
Menurut Ilham selain mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat, beliau juga mendapat tempahan daripada penduduk Langkawi.
-ZS-